;
ASSALAMUALAIKUM.SELAMAT DATANG KE WEB KULIHATHIJAUPAS..BERITA POLITIK DAN AGAMA

Wednesday, April 15, 2009

One Malaysia, Benarkan Ia Kabinet Rakyat

Wednesday, April 15, 2009

Pengumuman kabinet baru Najib baru-baru ini, jelas sekali bercanggah dengan aspirasi yang ingin beliau sampaikan kepada rakyat. Kabinet rakyat yang diperkatakan itu sebenarnya "jauh panggang dari api". Apa tidaknya, beliau melantik pemimpin yang ditolak oleh rakyat sebagai "menteri" iaitu Shahrizat Jalil. Bukankah rakyat di parlimen Lembah Pantai telah menolak beliau dan memberi kemenangan kepada "puteri Reformasi" Nurul Izzah Anwar dalam pilihanraya umum ke-12 lalu. Nurul Izzah menang dengan majoriti 2,895 undi ketika itu. Maka itu, apakah rasionalnya Najib membawa masuk kembali Shahrizat ke dalam kabinet. Adalah lebih elok Shahrizat juga sama seperti Khairy, diamanahkan untuk memperkemaskan parti UMNO itu sendiri. Jika Khairy digunakan untuk memperkemaskan pemuda, maka Shahrizat perlu memperkemaskan semula pergerakan Wanita UMNO. Namun, ini tidak berlaku, bila dia dilantik sebagai Senator dan dilantik sebagai Menteri Pembangunan Keluarga Dan Masyarakat.

Begitu juga dengan Tan Sri Khoo Tsu Koon (foto), mantan Ketua Menteri Pulau Pinang yang terus dipinggirkan itu. Beliau telah ditolak rakyat ketika bertanding kerusi parlimen di negeri itu. Memang sebelum ini terdengar desas desus beliau akan ditukarkan ke pusat selepas pilihanraya umum lalu. Namun akibat kekalahannya itu, maka agenda itu terpaksa dilupakan. Namun, selepas itu beliau menang sebagai Presiden Parti Gerakan, iaitu salah sebuah komponen BN. Lantaran kekalahan dan ditolak rakyat dalam pilihanraya umum lalu, mengapakah beliau dilantik ke kabinet. Malah beliau kalah dengan majoriti 9,485 undi kepada calon yang tidak popular dari DAP (P.Ramasamy a/l Palanisamy) bagi kawasan parlimen Batu Kawan, Pulau Pinang. Khoo Tsu Koon dilantik sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (perpaduan).

Sementara itu, seorang lagi pemimpin yang telah ditolak rakyat dan kalah dalam pilihanraya umum lalu dilantik ke kabinet Najib ialah, Awang Adek Hussin (foto). Beliau yang diwar-warkan bakal menjadi Menteri Besar Kelantan jika BN menang ketika itu, akhirnya tewas di DUN Perupok, Parlimen Bachok kepada calon PAS Omar Mohammd dengan majoriti undi 1,270. Maknanya beliau telah ditolak rakyat. Bahkan beliau juga telah dikeluarkan dari kabinet Pak Lah selepas pilihanraya umum ke-12 lalu. Soalnya sekarang, kenapa beliau kembali diambil menganggotai kabinet Najib sekarang?. Malah tindakan Najib melantik Awang Adek sebagai Timbalan Menteri Kewangan jelas sekali menjatuhkan maruah wakil rakyat UMNO dan BN sebenarnya.

Bukan itu sahaja, malah pemilihan Raja Nong Chik (foto) yang hanya bertaraf Ketua UMNO Lembah Pantai sebagai Menteri Wilayah Persekutuan menunjukkan jelas sekali Najib tidak mengikhtiraf suara rakyat. Apakah kerana beliau salah seorang tokoh korporat yang amat berjasa kepada UMNO?. Lantaran itu dilantik sebagai menteri, walhal beliau berada di parlimen Lembah Pantai yang telah kalah kepada Pakatan Rakyat. Ini bermakna perlantikan Raja Nong Chik, biarpun menerusi pintu belakang (Senator) jelas sekali mencabuli konsep "Kabinet Rakyat" yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri.

Terakhir langkah melantik Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera Mej Jen Datuk Jamil Khir Baharom (foto) sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Agama Islam juga melanggar apa yang diwar-warkan itu. Bila masa pula Jamil Khir Baharom diterima rakyat sedangkan beliau tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihanraya sekali pun. Ini bermakna, beliau tidak layak untuk menjadi menteri kabinet "rakyat" yang diperkatakan oleh Najib sebenarnya. Tindakan Jamil Khir Baharom, menerima jawatan tersebut juga dikhuatiri akan menyebakan rakyat menolak beliau. Kejadian ini sama seperti apa yang berlaku kepada bekas Imam Besar Masjid Negara, Pirdaus Ismail dan pendakwah bebas Dr.Mashitah Ibrahim dulu. Pemikiran dan minda mereka mula nampak "sekular" dan "rosak" sikit demi sedikit setelah sanggup memperhambakan diri kepada UMNO dan Barisan Nasional. Inilah yang amat ditakuti oleh para peminatnya.



0 comments: